Sejarah Majlis Perwakilan Iraq

Era Permerintahan Monarki

Sistem berparlimen di Iraq diasaskan selepas penubuhan sistem Raja Berperlembagaan pada tahun 1925.

Pada tahun 1958, pihak tentera telah melakukan satu rampasan kuasa dan menggulingkan kerajaan diraja Iraq. Pada masa yang sama, parlimen telah dibubarkan dan tidak lagi beroperasi.

Era pemerintahan Saddam Hussein

Pada 1970, kerajaan tentera telah menggubal satu perlembagaan dan menubuhkan "Majlis Kebangsaan" (Al Majlis Al Watan). Pilihanraya untuk Majlis Kebangsaan tersebut hanya dibuat pada bulan Jun 1980 semasa Saddam Hussein menjadi presiden Iraq. Pihak antarabangsa tidak mengiktiraf ketelusan proses pilihanraya kerana perwakilan-perwakilan yang terpilih kesemuanya memerlukan persetujuan Presiden Saddam Hussein. Hanya anggota parti Ba'ath sahaja yang boleh bertanding di dalam pilihanraya.

Era pemerintahan kerajaan sementara

Pada tahun 2003, Saddam Hussein telah digulingkan secara paksa oleh Amerika Syarikat, United Kingdom dan sekutu-sekutu mereka semasa Perang Iraq.

Pada bulan Mac 2004, satu majlis pemerintahan telah ditubuhkan oleh majlis tentera bersekutu untuk satu perlembagaan interim untuk satu pilihanraya diadakan untuk "Perhimpunan Kebangsaan" (Al Jam'iyya Al Wataniya) tidak lewat dari penghujung bulan Januari 2005. Majlis Kebangsaan ini akan merangka satu perlembagaan yang baru yang akan diluluskan oleh rakyat Iraq melalui satu referendum.

Pilihanraya untuk Perhimpunan Kebangsaan tersebut telah diadakan pada 30 Januari 2005. Pakatan Iraq Bersatu (Al I'tilaf Al Iraqi Al Muwahhad) yang didominasi oleh golongan Arab Syiah telah memenangi 48% daripada undi keseluruhan dan mendapat 140 kerusi di dalam Perhimpunan Kebangsaan. Seramai 85 orang daripada wakil rakyat di dalam Perhimpunan Kebangsaan tersebut terdiri daripada wanita.

Perbincangan di antara Pakatan Iraq Bersatu dan parti-parti politik yang lain untuk membentuk satu kerajaan campuran telah diadakan selepas keputusan pilihanraya dibuat. Perhimpunan Kebangsaan mengadakan sidangnya yang pertama pada 16 Mac 2005. Setelah beberapa minggu perbincangan diadakan di antara kesemua parti politik yang dominan, Hajjim Al Hassani, seorang Arab Sunni telah dipilih sebagai speaker parlimen. Hussain Shahristani, seorang Arab Syiah dan Aref Taifour, seorang Kurdis Sunni telah dipilih sebagai timbalan-timbalan speaker.

Perhimpunan Kebangsaan telah memilih Jalal Talabani, seorang Kurdis Sunni untuk mengetuai Majlis Presiden dan Ibrahim Al Jaafari, seorang Arab Syiah sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara tersebut.

Era Perlembagaan 2005

Selepas satu perlembagaan tetap diluluskan pada 15 Oktober 2005, kuasa legislatif telah diletakkan ke atas dua buah majlis perundangan iaitu Majlis Wakil-wakil Rakyat Iraq dan Majlis Kesatuan.

Majlis Wakil-wakil Rakyat Iraq mengandungi 275 kerusi yang diwakili oleh wakil-wakil rakyat yang dipilih setiap empat tahun sekali dan mempunyai dua sesi dalam setahun. Majlis ini akan meluluskan undang-undang persekutuan, mengawal kuasa pentadbiran eksekutif, melaksanakan perjanjian-perjanjian dan memilih pegawai-pegawai kerajaan yang tertentu. Majlis ini juga memilih Presiden Iraq, yang diberi tanggung jawab untuk melantik seorang Perdana Menteri.

Pilihanraya umum telah diadakan pada 15 Disember 2005 untuk memilih wakil-wakil rakyat untuk Majlis ini dan telah mula bersidang pada 16 Mac 2006.